::Diari Si Kotak Hati::
Assalamualaikum


Welcome to my Kotak Hati. Fahami aku dalam tulisanku.


Stuff Diary About Him Site


Owner

Miss Novelist




Hati terasa sepi bila ku jauh dari sentuh cintamu.
Ingin selalu ada dekatmu,
selalu ada di hatimu.


Mr Photographer



You're my love, you're my life
You're my everything I need.
I give you my heart
I give you my soul
In every way


My Precious



Pinky Promise!
You are always my sister,
forever my best friend.
Love you.

#KandaDinda



Lagu sendiri
Manuskrip siap!
Koleksi novel
Jadi novelis
Guitar
Honda City
Trip to Langkawi
Europe, here I come!
Travel to Istanbul
Travel to Australia
Jadi bestfriend AHR
Car license
Iphone
Kedai hadiah
Mirrorless Camera
Mr Photographer!
Jumpa Kanda Kesayangan
Nikah tanpa couple



Bawalah Aku Pulang

Ya Allah,
Aku bukan hamba-Mu yang sempurna,
Akulah pendosa yang tak pernah tenang hidupnya,
Aku benar-benar mohon pada-Mu kali ini Ya Allah..
Hadirkanlah ketenangan itu..
Tunjukkanlah aku sebenar-benar hikmah,
Atas segala yang Engkau takdirkan ini..
Apakah kesunyian yang Engkau masukkan ke dalam hati hamba ini 
adalah selautan kasih dan rindu-Mu terhadapku?
Andai benar, Ya Allah..
Ya..
Aku sedang berusaha kembali kepada-Mu
Bawalah aku pulang, Ya Allah..
Dan jangan Kau bolak-balikkan hati hamba,
Aku tidak sanggup hidup berdosa lagi, Ya Allah..
Kerana apa yang aku rasa sepanjang itu,
Sangat tidak menyenangkan..
Aku hilang semua orang yang aku sayang..
Atas dosa dan kesalahanku jua,
Aku tidak ingin lagi, Ya Allah..
Bawalah aku pulang..
Kesunyian ini benar-benar menekan,
Dosaku ini benar-benar menghimpit,
Pimpin aku kembali mencintai-Mu.
Bawalah aku pulang kepada-Mu.

Labels:




Maafkan Aku





Kepada insan yang aku tinggalkan..


Ketika aku menyedari yang aku sedang terperangkap dalam jalan cerita yang salah, aku masih berusaha untuk menjadikan segalanya kelihatan indah di mata semua orang yang mendampingiku. Aku masih cuba untuk menutup jurang dan memecahkan dinding yang memisahkan aku dengan mereka. Aku masih cuba untuk menutup lubang-lubang keretakan dalam hubungan yang sedang berantakan.

Tetapi ada kalanya, apabila tiba suatu saat, aku mulai bosan untuk menutup segala keretakan itu. Aku bosan dengan kekecewaan dan kemarahan yang terbuku dalam hati ini.

Saat keadaan mulai tidak terkawal dan hati sudah tidak mampu untuk aku tenangkan, jalan paling mudah yang aku temui hanyalah dengan pergi meninggalkan semuanya. Kerana aku sudah tidak bertemu sebarang penyelesaian untuk memperbaiki hubungan kita yang sedang perlahan-lahan karam. Aku juga tidak nampak sebarang alasan untuk terus kekal bersama kamu apabila hati ini terus terluka hari demi hari. Aku tidak nampak  jalan lain yang membolehkan aku untuk terus bertahan.

Dalam proses meninggalkan semua itu, aku sedar bahawa aku sebenarnya turut menyakiti kamu. Aku bertindak seakan perasaan kamu tidak penting bagi aku. Aku bertindak seolah-olah aku merasakan kamu layak untuk merasai kesakitan itu, sama seperti apa yang aku rasa selama ini. Aku bertindak seakan-akan aku adalah mangsa keadaan dan kamu adalah penjenayahnya. Sesungguhnya, aku sedar bahawa aku bersalah dan mementingkan diri sendiri. Maafkan aku.

Maafkan aku kerana meninggalkan kamu. Maafkan aku kerana menyinggung perasaan dan melukai hatimu. Maafkan aku kerana meluahkan semua yang terbuku dalam hati dan fikiranku tanpa bertimbang rasa terhadap perasaanmu yang mungkin terluka dengan kata-kataku. Maafkan aku kerana terus membiarkan kamu tenggelam bersama kekecewaan terhadapku. Maafkan aku kerana masih memilih untuk pergi, walaupun kamu dan ramai lagi yang masih berharap agar aku terus kekal bertahan.

Aku belajar untuk percaya, bahawa pilihan yang kita buat dalam hidup ini suatu hari nanti pasti akan membawa kita berdiri tepat di tempat yang sepatutnya. Aku belajar untuk percaya, tidak kira sama ada keputusan yang kita ambil itu betul mahupun salah, pada akhirnya, ia akan mengajar kita untuk menjadi lebih kuat dan lebih bijak memilih.

Aku juga percaya bahawa 'masa' akan selalu menjadi 'teman terbaik' kita. Masa akan menyembuhkan segala luka. Masa juga menjadikan kita lebih kuat dengan cara tersendiri.

Aku menyedari bahawa aku takkan berdaya untuk maju ke depan jika aku masih berpegang pada kepahitan yang aku bawa dari masa lalu. Dan aku juga telah memaafkan semua orang yang aku tinggalkan. Aku turut memaafkan diri sendiri dengan harapan kamu juga akan memaafkan aku.

Aku berharap agar suatu hari nanti kamu akan mengerti dengan keputusan ini meski hakikatnya aku juga tidak mahu segalanya berakhir begini. Semoga kamu juga sedar akan alasan kenapa aku tidak memilih untuk kekal bersama kamu malah memilih jalan sebaliknya. Sebelah hatiku sebenarnya masih ingin berada di situ, bersama kamu. Cuma aku tidak berdaya lagi.

Aku berharap yang suatu hari nanti, apabila kita kembali menoleh ke masa lalu, kita akan saling mengenang waktu-waktu indah yang kita kongsi bersama, bukannya saat-saat yang melukakan. Malah aku juga akan terus berharap, yang kita akan bertemu di persimpangan jalan yang sama dan saat itu kita masih lagi berteman.

Aku pasrah dan menerima dengan sepenuh hati segala apa yang terjadi. Perlahan-lahan, aku percaya yang aku bakal bertemu dengan kebahagiaan yang aku cari. Perlahan-lahan, aku percaya perjalanan hidup aku akan terungkai satu demi satu dan membawa aku berdiri lebih dekat dengan segala impianku.

Aku belajar menghapuskan segala keegoan dengan mengaku bersalah atas apa yang telah terjadi antara kita. Kerana tidak ada yang lebih manis selain hidup dalam ketenangan hati dan bebas dari segala perasaan bersalah serta kemarahan. Tidak ada yang lebih baik selain melepaskan diri dari semua itu.

Dan dengan memaafkan, aku mampu tersenyum lagi mulai hari ini.
Terima kasih atas segalanya.




Terus sayang..
XoXo

-Miss Novelist-


Labels: , ,




Pernahkah "Kau" Rasa?


Pernahkah kau rasa?
Tersekat.
Terperangkap.
Terjerat dengan realiti?

Kadang-kadang kau teringin melangkah seperti orang lain.
Mengembara..
Menyambung pelajaran..
Memiliki..
Berkahwin..
Mempunyai anak..
Menjalani hari-hari tua bersama seseorang..

Di saat semuanya realiti bagi mereka,
ianya hanya fantasi pada kau.
Terkadang terbuai fantasi, bila tersedar.. realiti merangkul kau semula.
Kaki yang ingin melangkah, ditarik semula pada saat terdengar suara hati yang berbisik..

"Itu bukan tempatmu, kau tidak layak berada di situ.."

Benarkah?
Kau mula keliru.

Di saat hanya ada satu jalan yang tersedia, jalan yang seakan jauh perjalanannya, jalan yang mungkin akan memerangkap kau semula di kemudian hari, muncul satu jalan yang lebih selamat, yang memberi kau peluang untuk bebas. Namun jalan yang selamat tidak mudah, tetap ada syaratnya.

Apa yang ada pada kau, belum cukup untuk memenuhi syarat-syarat itu, namun engkau masih berusaha mencari cara untuk memenuhinya, agar jalan itu mampu kau lalui dengan lapang dada. Sayangnya, jika jalan selamat itu juga mungkin akan membuatkan kau tersungkur, maka jalan yang awal tadi pasti akan menjadi pilihan seterusnya untuk kau lalui jua. Jalan yang mungkin memerangkap kau di kemudian hari.

Dan.
Kau kuatkan hati, kau bisikkan pada diri..
"Begitulah hidup, setiap orang berbeza ujian. Ini ujian bagiku. Insya-ALLAH tidak kira jalan apa yang aku pilih, selagi masih berpaut pada-Nya, pasti akan muncul sinar di penghujung jalan."

Lalu.
Kau teruskan hidup dengan senyuman, meskipun payah. 
Berusaha untuk tetap mensyukuri apa yang ada, menghargai setiap detik yang dimiliki dan terus berdoa untuk harapan baru.

Jika kau pernah merasakan itu, 
maka demikian juga aku pada saat ini.
Semoga kita sama-sama bertemu bahagia di kemudian hari.



p/s : "Kali ini, aku ikhlas melepaskanmu."






XoXo
-Miss Novelist-



Labels: ,




Teristimewa Yang Aku Miliki



Saat kita memiliki teman untuk berkongsi rasa,
Kita akan sedar bahawa dunia ini tidak sekejam yang pernah kita sangka.
Ketika kesepian membatasi hati dan akal,
Tuhan kirimkan teman untuk mengisi bahagian yang hilang.
Aku seperti manusia lainnya,
Pernah melepaskan dan merasa kehilangan.
Terkadang bukan kemahuanku,
namun perjalanan takdir itu pasti lebih indah di kemudian waktu.
Aku percaya...
Kerana hari ini, ketika aku kesepian..
aku menemukan yang lebih membahagiakan.


Ada cerita tentang kita yang ingin aku lakarkan. Biar menjadi lukisan yang mempersonakan pada waktu yang cukup menyenangkan ketika kita mengenang detik itu kembali. Terima kasih wahai kamu, sahabat yang setia bersamaku. Walau jarak kita beribu batu. Jasad kita terpisahkan oleh lautan yang mungkin belum mampu aku redahi, namun aku berbahagia saat ini kerana kita masih berdiri di bawah langit yang sama. Kita masih berpijak pada tanah yang sama. Kamu mahupun aku tetap bernafas dengan udara yang sama. Dan kita juga masih percaya bahawa hati kita tidak pernah jauh. 
Cukuplah itu buatku...

Aku mohon...
Jagalah dirimu baik-baik, kerana tiada dayaku bersamamu sepanjang waktu, menghalangi segala yang tidak seharusnya terjadi. Doaku selalu mengiringi kamu yang aku sayang selalu. Semoga kisah kita ini akan berpanjangan sampai waktu menjemputku. Kuharap antara kita akan baik-baik saja meski badai menghempas. Sesungguhnya, kehilangan itu cukup menyakitkan. Dan meskipun aku menyedarinya, aku masih memberikan sepenuh hatiku untuk persahabatan ini kerana aku yakin bahawa antara kita, pasti akan tetap kuat untuk bertahan.

Terima kasih, sahabat...
Kau teristimewa yang aku miliki kini.
Kamu yang terbaik!
You know who you are.
Sayang selalu.😍😍




XoXo,
-Miss Novelist-






Labels: ,




Moga Aku Tidak Kehilangan Lagi




Membilang hari-hari yang seakan menjauh dari hidup ini ternyata sukar. Bukan tidak ingin terus memandang ke depan, cuma aku seakan merasa "kehilangan" pada hari ini saat kenangan silam itu pudar perlahan-lahan. Aku selesa bernafas hari ini, tak bermakna aku sewenang-wenangnya melepaskan masa lalu. Sungguh sedikit sebanyak aku masih lemas dalam permainan waktu.

Aku ke yang berubah?

Sedangkan banyak yang telah kufikirkan tentang kamu. Telah kuhabiskan sisa hidupku yang lalu hanya untuk menyayangi kamu. Cuma kini, aku telah berhenti mencurah rasa kerana kukira sayangku itu tidak lagi menjadi keperluan buat kamu. Ya, memang aku telah jauh berubah saat aku menyedari bahawa aku hanyalah persinggahan dan hakikat itu cukup menyakitkan.

Tak perlu kamu persoalkan kenapa hari ini aku tidak lagi peduli. Jawapan kepada perubahan aku sebenarnya ada pada kamu. Dan telah aku relakan untuk perpisahan ini kerana aku tidak mahu bersedih lagi. Saat kamu pernah berbahagia tanpa menyedari air mataku, aku merasakan bahawa saat itu aku bukanlah yang terbaik kerana ternyata ada orang lain yang jauh lebih membuatkan kamu bahagia. Pergilah.

Meski masih ada tempat untuk kamu di hati ini, tapi maafkan aku, ruang itu cuma untuk perteduhan buat kenangan-kenangan kita yang masih aku sayang. Sampai saat hati aku tidak merasa kehilangan lagi, aku yakin bahawa detik itu telah kuberikan ruang itu untuk orang yang jauh lebih tahu menghargai. 

Moga aku tidak kehilangan lagi.




XoXo
-Miss Novelist-







Labels:




Pesan




Assalamualaikum..
Pesan buat insan tersayang.


Di saat ku tiada nanti
Tiada lagi di sisimu
Jangan kau bersedih dan menangis

Engkau insan yang kusayang
Yang paling kukasih dirimu
Amat bererti di hidupku

Nanti di akhir nafasku
Lihatlah ku buat kali yang terakhir
Doa doakanlah aku
Di saat aku menghadap-Nya

Jaga dirimu, sayangku
Di saatku bila tiada di sisimu
Semoga cinta kita kan bersama
di hatimu...

Jadikan aku yang terakhir
Sampai nafasku terhenti di hujung waktu
Saat kukirim cinta yang abadi...


Mungkin tiada kesempatan buat aku mengungkapkan, cuma aku berharap dengan bait-bait lagu ini dapat kuzahirkan pesan hati buat kamu.. mungkin buat terakhir kali, menjadi tatapan kamu suatu saat nanti.. saat aku tiada lagi di sisimu. Jaga dirimu selalu. Sampai bertemu kembali.
Aku sayang kamu.



XoXo
-Miss Novelist-

Labels: , ,




Terasa Ingin Menulis "Kisah Kita"


Assalamualaikum..
Hi Peeps!

Alhamdulillah entri kali ni menjelma di celah-celah kesibukan. Masih mampu menulis lagi. Seronok tak terkata. Mungkin kali ni posting aku agak panjang kerana sudah terlalu lama tidak menulis dan mencurah cerita dari hati. Aku sebenarnya sangat rindu menulis! Maklumlah pekerjaan sekarang hanya menyanyi, menyanyi dan menyanyi di SMULE. Haha. Jika dulu aku menulis untuk melepaskan tekanan, cuma untuk beberapa tempoh yang lalu, aku berhenti menulis dan mula melalak, dari suara tak berapa nak elok, sumbang sana sini hingga suara aku boleh mengumpul seramai 2000 lebih follower di Smule. Kepada follower Smule aku, terima kasih kerana menerima suara aku seadanya. Haha! Nak gelak sebab benda ni macam syok sendiri je. Lantaklah nak fikir apa. Anyway, aku cuma memberikan yang terbaik sepanjang perkhidmatan aku di SMULE. Hahaha! Nyampah lak rasa. 😂😂😂



Okay, nak simpan satu gambar akaun SMULE aku
sebagai kenangan sempena entri ini ditulis. Haha!


Okay, cukup!
Now nak story pasal life. Tiga tahun tak melepak kat sini, banyak benda aku tertinggal. Kenapa aku yang tertinggal? Haha. Yalah, banyak kot peristiwa yang tak sempat aku catat kat sini sepanjang "kehilangan" aku tiga tahun lalu. Sayang seribu kali sayang sebab banyak peristiwa berlaku selama itu. Dipendekkan cerita, aku cuma menjauh dari kekecewaan, meninggalkan insan-insan yang aku sayang cuma kerana aku merasakan bahawa aku tidak diperlukan lagi di sisi mereka. Then, aku pergi untuk mengubat kecewa sendiri.

Tambah-tambah, aku dah mula dengan life baru, jadi wanita bekerjaya dengan tugas utama mendidik anak bangsa, gaji cukup-cukup makan, sibuk mengalahkan menteri, dengan cuti hujung minggu yang tak menentu, bisnes pula tenggelam timbul, ditambah juga dengan kisah cinta yang tak berapa nak kesampaian. Haha. Itu life aku sekarang. Agak terkial-kial but funny! Boleh dikatakan aku sedang merangkak-rangkak lagi mencari hala tuju hidup. 

Namun, harus aku akui bahawa aku selesa dengan hidup aku sekarang! Sungguh! Betul! Siapa sangka, kepayahan mengubat kecewa silam telah membawa haluan hidup aku ke satu lembah yang baharu. Daerah yang tak pernah aku jejak tetapi rupa-rupanya wilayah itulah yang telah mengubah hidup aku hampir seratus peratus. That's why aku mulakan entri aku dengan SMULE! Yup, itulah wilayah yang aku katakan.

Aku menapak di SMULE dengan ID pertama (EqaDarnestra), kemudian bertukar ID kedua (BOS_Eqa_SM) sempena menyertai satu group di SMULE, kemudian kembali menggunakan ID pertama (EqaDarnestra) sebelum berubah menjadi ID ketiga (BOS_Darnestra_SM)... haha! Nampak macam dah lama dalam SMULE kan, padahal semua perubahan ID berlaku dalam sekelip mata je. Haha! Pendirian tak tetap masa tu kot. Tambah-tambah otak tengah celaru, fikiran tak menentu, hati tak berapa nak setuju, hidup pun tengah abu-abu. Haha.

Kenapa aku stop pada ID "BOS_Darnestra_SM"?

Yes! Ada sesuatu yang aku teringin nak tulis bermula dari ID itu. Cerita yang tak begitu popular dalam kalangan umum, tetapi cukup popular di hati aku. Haha, poyo! Actually, bermula dengan ID tu, aku kembali join group lama dalam SMULE cuma ketika itu aku bertemu dengan member baru dengan suasana yang baru. Syok! Sebab member semua kepala giler giler. Dan hari demi hari aku selesa di situ hanya kerana satu nama. Tak perlu kot aku nak mention dulu. Maybe pada entri yang akan datang. Cuma yang kalian perlu tahu, pemilik nama (ID) itulah yang sebenarnya telah membawa aku bernafas kembali dalam satu wilayah baharu. Wilayah yang sedang aku duduki kini. Wilayah yang cukup jauh dari kekecewaan pada hidup yang lalu.


Terima kasih untuk "Wilayah" itu.
Aku hargainya.


Pada entri akan datang, takkan kulepaskan kesempatan untuk mengabadikan kamu dalam tulisanku. Kamu yang aku sayang selalu. Gituuu! 😆😆 Cukuplah entri kali ini, intro kisah kita yang agak panjang telah kucoret. Haha. Sebenarnya inilah keseronokan menulis. Lebih-lebih lagi apabila menulis kisah yang ingin kita tulis untuk disimpan sebagai kenangan. Insya-Allah aku akan kembali lagi dengan "Kisah Kita" dalam next entri. Moga berkelapangan untuk menulis lagi. Amin..




xoxo
-MissNovelist-



Labels: , ,




Berhabuk!




Ohmaigadd!
Assalamualaikum...

Seriously, lama benar aku tinggalkan blog ini terbiar berhabuk macam ni! Sedihnya tengok... 😢 dan aku tak sangka sekarang nak tulis entry dah boleh letak emoji. Haha! Kejakunan melanda.. 😂😂😂 (nampak tak emoji aku guna tu) Haha. Anyway, nak say "Hi" kat pembaca blog aku walaupun aku tahu blog ni tak ada pembaca pun. Lantaklah... lagi suka tak ada pembaca, kang rahsia terbongkar. Mampoih! Haha...😄

Okay! Now sedar tak sedar dah lebih tiga tahun aku tinggalkan blog ni...

Sepanjang tiga tahun itu sebenarnya life aku dalam keadaan tak menentu. Itu sebenarnya yang terjadi. Dan kerana situasi itu juga aku langsung tak menjengah kat blog ni macam kebiasaan aku buat tiga tahun yang lepas. Aku malaslah nak cerita pasal life aku yang tak menentu tu, better aku lupakan sebab now aku dah boleh mengatasi apa jua yang pernah menimpa aku. Haha! Gelak untuk senangkan hati je.

Buat masa sekarang ni, apa yang dapat aku kongsikan kat sini ialah life aku dah pulih. Cuma aku hidup dengan orang-orang baru di sekeliling aku. But still, aku masih sayangkan insan-insan yang pernah hadir dalam hidup aku waktu dulu-dulu. My bestfriend of course! My classmates! My Lil Sis! My Mr. Chipsmore! Haha. Aku masih sayangkan semua...

Apa yang aku tinggalkan dalam life aku yang dulu ialah suasananya. Hmm.. maksud aku ialah impian aku! Semua tu aku dah tinggalkan. Sedih memang sedih! Tapi, aku kena mula dari bawah balik. Kalau dulu orang kenal aku sebagai "Darnestra" yang aktif berseni, berteater, buat projek shooting itu ini, aktif menulis skrip, menulis novel, cerpen, cipta lagu and so on, tapi sekarang nama "Darnestra" sudah tenggelam, terkubur dalam fikiran setiap orang.

So, aku sedang membilang hari untuk bangkit semula selepas kejatuhan aku dalam tempoh tiga tahun itu. Aku akan stay dengan life sekarang sebab aku rasa aku dah selesa dengan orang-orang baru. Cukup selesa dengan "bestfriend" yang aku ada sekarang. Alhamdulillah... Thank you, ALLAH!



p/s : 
Gambar entry takde kaitan. Sorry k! Haha. 
Tengah blur..






xoxo
-Miss Novelist-


Labels:




My Year Schedule



Assalamualaikum,
Hai! Hello! 

Dah lama aku tak kemas-kemas blog ni. Hari ni baru ada masa nak menjenguk, itupun lepas seorang member tanya kat aku pasal blog nih. Catatan entri hari ni adalah berkaitan dengan aktiviti aku sepanjang tahun. Okey! Masih tak terlambat kut nak ucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2014!! Yeah!! Pejam celik pejam celik dah berlabuh rupanya tirai 2013. Banyak peristiwa dan pengalaman yang berlaku dalam hidup aku. Meh, aku story sikit kat sini.

Perkara paling aku tak boleh lupa :
Tahun 2013
  • Aku telah kehilangan nenda tercinta, beberapa minggu sebelum raya haji. Dan yang paling menyedihkan aku tak boleh datang jenguk arwah lepas kemalangan hari tu disebabkan masalah kewangan yang tak dapat dibendung. Puas aku kenang, menangis, bersedih... sebab arwah orang yang paling rapat dengan aku dan adik-adik. Sekarang dah tak ada, terasa benar kehilangannya.
  • Dalam luka, pasti ada bahagianya. Tahun 2013 juga memberikan aku pengalaman yang cukup indah apabila aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke luar negara. Aku dan kawan-kawan buat trip ke Indonesia. Bajet pun beriban-riban jugak keluar. Hei... demi kawan, sanggup keluar bajet besar. Tak apalah! At least, ada jugak masa-masa bahagia untuk dikenang.
  • Seterusnya, aku dapat result gempak! Meningkat dari sem-sem lepas. Alhamdulillah...

Okey! Cukuplah kut aku story pasal 3 perkara aje untuk Tahun 2013. Sekarang nak story pulak pasal 2014.

Aktiviti sepanjang tahun :
Tahun 2014
  • Semestinya kuliah! Final year student, okay! Hehe.
  • Tulis skrip. Sekarang dah ada permintaan and may be aku akan tulis skrip untuk telemovie bergenre ketuhanan dan keagamaan. Insya-Allah proposal akan diterima. Doakan!
  • Jadi director. Sekarang pun aku tengah buat penggambaran bersama pelakon-pelakon aku untuk short film terbitan ED Production. Nanti aku akan uar-uarkan sebarang berita berkenaan short film ni.
  • Aktiviti-aktiviti kampus pun semakin banyak berlangsung. Contohnya yang paling dekat ialah Majlis Perpisahan bersama Mentor kami. Lepas tu, kena urus pasal Bengkel Terapi bersama rakan-rakan satu batch. Then, kami kena urus Majlis Perhimpunan Bulanan pulak sebelum menghadapi Praktikum Fasa akhir di sekolah-sekolah. Banyak kerja, tetapi aku boleh pulak buat selamba... Well, life kena enjoy, kan??
  • Aku juga sibuk dengan manuskrip novel yang kedua. Insya-Allah akan mula menulis lagi pada bila-bila masa. Cuma sekarang aku sibuk merangka jalan cerita. Dan doakan jugak untuk first manuscript aku yang sedang dalam proses penilaian oleh pihak penerbit.
  • Then, aku sedang membuat perancangan untuk menghasilkan sebuah naskhah skrip untuk lakonan pentas (teater). Tapi, ini perancangan aje. Entah jadi ke tidak itu belakang cerita. Apa yang aku tahu, aku sedang menyusun jalan ceritanya.

Okey! Itu aje setakat ni. Malas nak cerita banyak. Lepas ni, nak keluar kejap untuk tenangkan diri. Dah jadi hobi sekarang kut. Kalau tak keluar dengan kawan-kawan, aku jalan sorang-sorang... Gotta go! Daaa.....




XoXo
-Miss Novelist-





Labels:




Takdir...




Terkadang, ada perkara yang tak mampu kita duga akan terjadi dalam hidup ni kerana takdir tak pernah beritahu kita apa yang sudah tertulis untuk kita. Segalanya sudah menjadi satu ketentuan sebelum kita dilahirkan lagi. Ajal maut, jodoh pertemuan, akhir dan penghujungnya hidup kita hanya Tuhan yang tahu. Selagi kita hidup dan bernafas dengan udara yang dianugerahkan, selagi itulah kita berusaha dan menerima takdirnya dengan kerelaan hati.

Aku teringat kata-kata seorang hamba Allah, "hidup ini adalah sebuah perjalanan takdir yang bakal dilalui. Apa yang mampu kita buat, hanyalah kuat! Serta berusaha untuk menghadapi apa jua ujian dari sang pencipta. Usaha untuk kuat dan bersabar. Memang dalam hidup ini, takdir kita masing-masing telah ditentukan sebelum kita dilahirkan ke dunia lagi. Tetapi, sebagai hamba Allah yang mentaatiNya, kita perlu sentiasa ada usaha untuk dapatkan sesuatu meskipun pada akhirnya, apa yang kita inginkan itu bukanlah ditakdirkan untuk kita..."

Apabila aku terkenang balik kata-kata itu, dan merenung juga apa yang telah menimpa sejak akhir-akhir ini, aku sedar... bahawa takdir yang sudah tertulis di loh mahfuz takkan sama sekali berubah. Jika Tuhan mengkehendaki sesuatu itu terjadi seperti apa yang Dia inginkan, maka ia akan terjadilah! Kun fa ya kun!

Setiap yang hidup, pasti ditakdirkan mati. Cepat atau lambat sahaja yang membezakan di antara kita manusia. Semoga aku akan sentiasa mengingatkan diri untuk mengingati akan tibanya hari itu. Hari malaikat maut bakal menjemputku menghadap sang pencipta seperti mana Tuhan telah menjemput orang-orang yang aku sayang sebelum ini. Aku hanya mampu berdoa semoga aku dijemput dalam keadaan yang baik dan diredhai.


Ya Allah,
Kau lindungilah orang-orang yang aku sayang,
Kau berikanlah hidayah dan keberkatan kepada mereka untuk menuju ke jalan yang benar,
Kau jauhkanlah mereka dari segala mala petaka,
Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan untuk menempuh segala ujianMu,
Kau sandarkanlah sesuatu yang baik kepada mereka,
Kau bimbingkanlah mereka ke jalan yang benar..

Ya Allah,
Sesungguhnya, ujian yang Kau berikan itu terselit hikmah yang tidak terhingga,
Dan Engkau juga tidak akan menguji hambaMu dengan sesuatu yang tidak mampu mereka jalani,
Aku berharap semoga doa ini juga akan memberi manfaat kepada diriku,
Amin...






p/s : Al-fatihah untuk arwah datuk saudara yang telah pergi menghadap Ilahi dua hari lalu
dan salam takziah buat rakan sekelas di atas kepergian ibunya tengah hari tadi,
moga kuat menempuhi ujian Tuhan ini.. kami kawan-kawan selalu ada untuk kau..
dan didoakan juga kesembuhan buat nenek yang sedang nazak,
moga segalanya akan baik-baik saja..
amin...






XoXo,
Miss Novelist







Labels:




Sekadar Menulis




Hello!
Assalamualaikum...

Entri kali ni cuma satu entri yang bolehlah dikatakan simple. Sekadar untuk mengisi satu ruang masa yang membuatkan aku rasa cukup membosankan saat ini... huhu...


Cuti kali ni aku rasa boring sangat sebab tak ada satu projek pun yang aku nak buat. Kalau dulu ada la jugak projek nak siapkan manuskrip tapi sekarang dah tak ada... manuskrip pun dah lama siap. Ada kengkawan cadangkan aku buat lagu baru, ada jugak yang cadangkan aku buat cerpen or novel baru tapi aku masih setia menanti penilaian untuk novel pertama aku.. hmm.. bosan kan kalau cuti? Kawan tempat bergurau senda tak ada.. kalau berhubung pun terasa jauh sangat.. hehe...

Okay, tak apa... 
Nanti aku fikirkan satu projek supaya cuti aku tak membosankan... by the way, cuti ni aku telah menerima satu kelahiran baru dalam hidup aku.. maksudnya aku ada baby baru laa.. baby aku tu... tettt.. tak nak bagitahu dulu.. hehe..
baby ni sangat-sangat memerlukan perhatian aku, nak kena jaga.. nak kena belai baik-baik.. hehe.. insyaALLAH..
sekurang-kurangnya ada jugak peneman aku time cuti ni..

Erm... rasanya tu aje lah yang aku nak ceritakan untuk entri malam ni,
sebelum terlupa, aku nak ucapkan tahniah kat kawan baik aku, blogger baru.. Miss Ruby sebab akhirnya dia dah jadi tunangan orang... TAHNIAH kawan!! 


Hai... aku bila lagilah kan..? Aku dah mintak mak ayah tolong carikan.. tapi respon nya macam belum sedia nak kasi anak sulung dia ni nikah lagi.. hehe.. aku pun belum bersedia lagi okay! Saja nak usha tindakan mak ayah awal-awal... hehe..


Okay! Bye..


p/s : ...first time entri aku tak letak gambar.. hehe.. takpe, nanti aku edit balik...







XoXo,
Miss Novelist

Labels:




Aku Ingin Kuat!



Hari ini aku merasai sebuah kesedihan...
hari ini aku mengalami berjuta kejatuhan...
hari ini aku bagai telah kehilangan...
hari ini semua impian kekal menjadi angan-angan

Semalam telah hilang,
semalam telah lama pergi,
semalam merupakan kenangan yang paling pahit...



Aku bagai telah merasakan lagi sebuah kesakitan lampau,
di mana apabila aku mengetahui hakikat bahawa aku telah kehilangan seorang lagi sahabat,
sakitnya seperti sakit ketika aku kehilangan abang...
ketika aku kehilangan kakak...
sakit dan pedih...
terluka...

cuma aku berharap kini,
waktu yang berputar akan mengembalikan segala keindahan,
berikanlah kesembuhan pada sahabatku ya ALLAH...
moga suatu hari nanti kami pasti akan bertemu lagi...

dan walaupun impian aku kini telah hancur semuanya,
tak bermakna aku berputus asa,
cuma berharap akan ada insan yang sudi menguatkan aku...



Pergilah resah...
pergilah kesedihan...
Aku ingin KUAT!





XoXo,
Miss Novelist




Labels:




Kesedaran



Embun di hujungnya daun
Menitis lalu berderai
Jatuh ke bumi hilang
Hanya tinggallah kenangan

Daun di pohonan rimbun
Berguguran bertaburan
Tak kuasa menahan
Selain dariMu Tuhan

Aku sedar hidup insan
Kan sampai ke hujungnya
Bagai embun bagai daun-daun

Aku sedar dan berjanji
Akan mencurah bakti suci murni
Sebelum mengatur langkah yang terakhir


*Sangat tertarik dengan lirik lagu ni...
Dah lama tak update, makan aku telah kehilangan hampir seluruh idea aku...
Sedang diri juga sedang dilanda kemelut...




XoXo,
Miss Novelist



Labels:




Wei! Sedihnya Aku...



Menangis tak berair mata,
Itulah tangisan dalam hati...

Aku tak tahu kenapa tiba-tiba kesedihan ni muncul dalam lipatan hati aku
dan kini aku sedang berusaha menahan air mata ni daripada tumpah ke pipi.
Kenapa dengan aku ni?
Tak pasal-pasal nak sentap semacam!
Come on Eqa! Kau telah belajar bagaimana nak kuat kan?
Takkan benda kecik pun kau nak sedih-sedih...
.
.
.
.
.
.

Wei! Ini bukan pasal benda kecik...
Ini pasal impian...
Mungkin aku mengharap terlalu tinggi,
hingga diri sendiri boleh hilang keyakinan secara tiba-tiba...
Nampaknya, impian aku takkan tercapai...
.
.
.
.
.

Terlalu cepat putus asa?
Well, nak buat macam mana?
Semakin menaruh harap, semakin parah jadinya...
Better aku stop sekarang!
Sebelum aku jatuh dari tempat yang lebih tinggi...
Huhu..
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Sedihnya aku............
:'(







XoXo,
Miss Novelist!





Labels:




Dua Perkara Baik



Assalamualaikum!
Pagi-pagi buta baru nak update entri kat sini.


Okey! Now, aku dah mula dengan kuliah. So, kesibukkan tu memang susahlah nak dielakkan. Sebab tu jugalah aku dah jarang melepak kat sini. Jadi, di kesempatan yang ada malam ni, aku rajin-rajinkan diri untuk update. Kali ni aku nak cerita pasal sesuatu yang "waaaaah!!" Perkara yang buat aku so touching touching! Hehe, hampeh betol bahasa Inggeris. 

Back to the point,
Walaupun permulaan tahun 2013 aku agak kelam-kabut dan porak-peranda sekali, tetapi aku bersyukur sebab perkara tu aku rasa tak teruk sangat. 1hb, nak naik flight ke Kuching tapi apa yang menyedihkan bila aku tertinggal IC kat asrama. Just imagine! Tapi nasib baik aku dilepaskan juga untuk naik flight tu. Kalau tak??

Okey, itu pasal hari pertama aku dalam tahun 2013 yang paling teruk. Sekarang, aku nak bercerita tentang hikmah perkara buruk yang menimpa tu pulak. Hehe. Pertama sekali aku nak teriak "HOOOOREYY!!" pada satu dunia sebab aku dah berjaya menamatkan manuskrip pertama aku. Sekarang cuma menunggu waktu untuk dihantar kepada Ketua Editor dan dinilai dalam tempoh 4 minggu.

Sebaik saja mentor kelas aku dengar pasal kejayaan besar ni, beliau sanggup pulak menghulurkan bantuan pada aku untuk menerbitkan sebuah novel melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Katanya, nak lebih grand! Sememangnya, dari dulu lagi galakan sebegini datang kepada aku. Alhamdulillah... terasa yang mereka amat mengharapkan aku bakal menghasilkan sesuatu yang sangat bermakna. Tetapi, buat sementara waktu ni, aku menolak dahulu bantuan daripada pensyarah Jabatan Pengajian Melayu aku tu sebab aku masih nak usha-usha syarikat penerbitan yang terkenal, ALAF 21. InsyaALLAH manuskrip aku diterima! Amin...

Itu berita menggembirakan yang pertama. Berita kedua pula ialah pasal pointer aku. Walaupun menurun sikit dari semester lepas tapi aku rasa bersyukur sangat. Aku nak nangis! Terharu. Sebab, dalam kepayahan menjawab soalan yang macam *&^$#*@$&^)*&^$! semester lepas, aku betul-betul tak sangka yang result aku sampai macam tu sekali. Aku tak target pun keputusan macam tu. Paling rendah aku target disebabkan subjek yang membunuh semester lepas ialah 3.5 aje. 

Melihatkan kenyataan itu, ternyata sekarang aku masih tidak percaya! Apapun, sememangnya ini rezeki dari ALLAH SWT yang diberikan kepada kita kerana berusaha. Lepas ni, aku nak target First Class pulak untuk pointer keseluruhan. InsyaALLAH, dengan izinNya semua itu tidak akan mustahil! Aku percaya dengan ketentuan ALLAH.

Sampai kat sini aje aku merapu untuk malam ni...
Jumpa lagi pada bila-bila masa.





XoXo,
Miss Novelist!




Labels:




Curahan Hati Dari Pengalaman




"Pernahkah kau merasa jarak antara kita,
kini semakin terasa setelah kau kenal dia..."


Bait-bait lagu itu seharusnya aku berikan pada dia setahun yang lepas. 
Tapi sayang aku baru tahu kewujudan lagu tu sekarang. 
Haha, tak apalah!



Sekali lagi dalam seumur hidup aku, perasaan ini terjadi lagi. Setiap kenangan itu berlegar kembali. Dan hati ini mula berbelah-bagi. Setahun lepas aku nanar mencari arah tuju hidup. Aku relakan hati melepaskan semuanya pergi sungguhpun perkara itu tak semudah yang orang lain fikirkan. Dan kini aku merasakan hikmahnya cukup besar. New life with new joy!

Aku bersyukur kerana TUHAN berikan aku sekeping hati yang tabah, sabar dan pemaaf. Dari pengalaman lalu aku belajar sesuatu yang berharga iaitu KETABAHAN. Dari kesilapan lalu aku berubah menjadi individu yang lebih sempurna hari ini. Seharusnya aku berterima kasih bukannya mempersalahkan sesiapa. TUHAN menguji kerana Dia sayangkan kita. Jadi, apa yang aku temui hari ini sangat bermakna untuk aku simpan sampai bila-bila. 



Aku telah belajar untuk lebih menghargai seratus kebaikan seseorang daripada melihat satu kesilapan yang pernah dilakukannya.






XoXo,
Miss Novelist!




Labels:




Holiday And Dream!


Assalamualaikum and morning...



Sangat best bila menaip entry sambil ditemani lagu jiwang... Sekarang, lagu Tomok "Aku Datang" sedang berlayar bersama angan aku tika ini. Lagu yang sangat memberi makna lepas aku tonton filem Istanbul, Aku Datang! beberapa minggu yang lalu.

Okay! Baiklah. Back to the point!
Now, musim cuti dah tiba. Bila baca status-status kengkawan di Facebook, nampak gayanya semua seronok melayan cuti di rumah masing-masing. Ada yang cerita pasal musim buahlah, musim tengok wayanglah, musim jalan-jalan dengan kengkawanlah, musim travellinglah! Wah...seronoknya!




But, for me...
Cuti ini digunakan sepenuhnya untuk menyiapkan manuskrip pertama aku. Yup! Demi mengejar impian untuk menjadi seorang Novelis, aku kena usaha lebih walaupun harus memerah otak sehingga ia terasa penat. Kesian otak aku kena kerah untuk bekerja masa cuti ni! Tapi, apapun semuanya demi mengejar impian. And I really hope, in this year aku boleh siapkannya. Then, masuk next year aku tinggal hantar pada editor and tawakal banyak-banyak dengan harapan manuskrip tu tidak akan kena REJECT! Doakan aku!!

By the way,
Sekarang dah masuk bab ke 34. Tinggal lagi 43 bab yang aku kena edit sepenuhnya. Actually, manuskrip tu dah siap, tapi bila dapat tahu dari kengkawan novelis, mereka kata editor mudah nak REJECT manuskrip sekarang ni, aku start ambil langkah untuk edit sendiri terlebih dahulu. Ini semua demi memudahkan kerja editor. Bila kerja mereka mudah, so ada harapan manuskrip kita diterima. InsyaAllah...amat yakin yang usaha aku tidak akan sia-sia.

Dalam apa jua keadaan, doa itu penting! :)





XoXo,
Miss Novelist!




Labels:




Istiqamah Demi Hidayah



Alhamdulillah,

Hari ni aku masih mampu bernafas dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Sesungguhnya, hari ni merupakan hari ketiga aku berjaya bangun untuk menunaikan solat Subuh selama tiga hari berturut-turut. Bukan disebabkan selama ni aku tidak pernah menunaikan tanggungjawab wajib itu, cuma aku telah mensia-siakan perintah Allah SWT. Astaghfirullahalazim...betapa berdosanya aku.

Apabila mengenang kembali segala dosa yang telah aku perbuat selama ini, aku sedar yang aku telah jauh terpesong dari landasan Allah SWT. Maka, aku cekalkan tekad sejak tiga hari yang lepas untuk tidak meninggalkan solat dan cuba untuk menjadikan solat aku khusyuk dan sempurna agar diterima olehNya. Dan alhamdulillah, peluang itu sentiasa ada jika kita beristiqamah. Begitulah luasnya pintu peluang yang aku dapat daripada Allah SWT.

Ya Allah...

Ketika hambaMu ini hanyut terlalu jauh, Engkau datang memberikan hidayah. Tidak pernah Engkau lupakan hambaMu ini sedangkan aku? Terlalu sering mengenepikanMu. Ampuni aku Ya Allah. Cekalkan hatiku untuk terus berada dalam perubahan yang semakin membaik ini. Ringankanlah jiwaku untuk melakukan segala ibadah sebagai seorang muslim. Semoga aku tidak lagi berdiri dalam kegelapan serta kejahilan. Dan aku bersyukur kerana Engkau masih di sisiku. Alhamdulillah...





Labels:




Kenangan Dan Pengalaman





Ada banyak kenangan yang tak boleh kita lupakan dalam hidup ni. Manis mahupun pahitnya kenangan itu adalah anugerah dari pengalaman yang tak ternilai. Dan semestinya kita kena hargai setiap satu kenangan yang datang dan pergi. Tak kira banyak mana pun pengalaman hidup yang hadir silih berganti, kita kena teruskan hidup jugak.

Begitulah apa yang sedang aku lakukan sekarang, melupakan kenangan yang pedih, mengabadikan ingatan yang meraih jutaan senyum tawa. Dan semuanya adalah demi untuk mematangkan diri. Namun, proses mematangkan diri itu tak semudah kita menyebutnya hanya di bibir je. Kita kena lalui banyak perkara sebelum kita dengan bangganya mengatakan bahawa kita sudah matang!

Walaupun aku sudah ditimbunkan dengan banyak musibah hidup, tapi proses untuk menjadi matang itu masih terlalu lambat. Sehingga ada kalanya, aku kecundang juga dalam meniti waktu-waktu sukar. Aku masih belum dapat memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk keputusan-keputusan yang bakal aku buat. Dalam erti kata lainnya, aku masih gagal!

Walau bagaimanapun, aku bersyukur dengan jalan hidup yang aku pilih sekarang. Paling tidak pun, aku sudah melangkah ke satu tahap yang mampu mengubah pendirian aku terhadap kehidupan yang lalu. Kalau dulu aku adalah seorang insan yang sangat lemah untuk menerima kenyataan hidup, tapi sekarang aku cuma memikirkan hikmah yang akan aku terima di atas jalan-jalan takdir yang Allah berikan. Dan kalau dulu aku adalah seorang insan yang tidak tahu menghargai dan menjaga hati orang lain, tapi sekarang aku lebih memilih untuk berhati-hati dalam memberikan kasih sayang.

Jadi, aku telah banyak belajar dari pengalaman. Terima kasih pengalaman hidupku, kerana engkau telah menyedarkan aku sehingga ke saat ini.




Pendek kata,
Pengalaman hidup selamanya tak akan menjadi sia-sia jika kita tahu menggunakannya sebagai sesuatu yang bermanfaat.








XoXo,
Miss Novelist!



Labels: